Monday, September 14, 2015

KEROPOK LEKOR TERENGGANU

Keropok lekor merupakan makanan yang tidak asing lagi bagi kita di Malaysia. Keropok lekor atau keropok batang merupakan sejenis makanan tradisional pantai timur Semenanjung Malaysia, khususnya di negeri Terengganu yang terkenal. Perkataan "Lekor" bermaksud "Lingkar" dalam bahasa Melayu Terengganu yang menggantikan ejaan "ar" kepada "or" di akhir suku kata.           

Oleh itu maksud Keropok Lekor ialah Keropok yang berlingkar. Keropok diperbuat daripada isi ikan laut dan campuran sagu dan sedikit garam. Terdapat juga keropok yang dicampurkan dengan tepung kanji. Keseluruhan ramuan tersebut akan diuli dan digentel panjang bertali, sebelum direbus didalam air panas. Bagi perusahaan keropok lekor yang menghasilkan volume tinggi, teknologi dan mesin yang canggih telah memudahkan kerja-kerja mengadun, menguli dan menggentel keropok lekor ini.
Apa sebenarnya kandungan keropok lekor? Di dalam keropok lekor terdapat kandungan ikan yang tinggi menjadikan keropok lekor sebagai makanan berprotein tinggi dan kaya dengan iodin semulajadi. Keropok lekor boleh dimakan segar sebaik sahaja diangkat dengan dicicah air lada (sos cili) yang pedas. Pada masa ini, pembuatan keropok lekor telah pun tersohor di beberapa negeri lain selain Terengganu.
Keropok lekor biasanya tidak tahan lama. Bagaimanapun, sekiranya hendak disimpan dengan lebih lama, keropok lekor hendaklah di masukkan ke dalam plastik atau dipek dalam pek kedap udara dan diletakkan di tempat sejuk beku agar ia tahan lebih lama serta dapat mengekalkan rasa keaslian keropok lekor tersebut. Cara penyediaannya juga mudah, apabila hendak dimakan, ia perlu dibasuh dan direbus semula dengan air yang dicampurkan sedikit garam, sekiranya tidak keropok berasa tawar.
Selain daripada dimakan terus, keropok lekor juga boleh dipotong pendek dan digoreng sekali lagi bagi menghasilkan keropok yang lebih rangup. Keropok lekor yang dicampur dengan tepung kanji biasanya lebih rangup apabila digoreng, tetapi akan bertukar menjadi liat apabila sudah sejuk. Keropok lekor yang menggunakan campuran sagu tidak akan menjadi liat walaupun ia sudah sejuk selepas digoreng.
Keropok lekor juga boleh diproses untuk dijadikan keropok keping. Keropok lekor yang telah direbus akan dipotong nipis-nipis dan dijemur untuk dijadikan kepingan-kepingan keropok kering yang dikenali sebagai keropok keping. Keropok keping ini akan menjadi kembang apabila digoreng dalam minyak yang panas dan ia amat sedap apabila dimakan dengan sos cili.

Keropok lekor yang telah siap direbus

Keropok lekor yang telah dipotong pendek dan digoreng

Tidak sah jika makan keropok lekor tanpa cicah sos asli




1 comment:

  1. Lucky Club Online Casino UK - Casino Site
    Lucky Club Online Casino is a licensed and regulated site that has a large number of slots and table games to choose from. As an online casino, you  Rating: 4 · ‎Review by LuckyClub.live 카지노사이트luckclub

    ReplyDelete